Monday, December 06, 2021

Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022

Video link https://fb.watch/9JDNY9K1vy/

Ucapan Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 oleh YB Wong Hon Wai, Ahli Parlimen Bukit Bendera pada 3-11-2021


Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. 


Saya turut juga ingin menyertai perbahasan Bajet Tahun 2022 dan pembentangan bajet tahun lalu, Bajet 2021 telah menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ataupun Gross Domestic Product (GDP) berkembang 6.5 peratus sampai 7.5 peratus. Saya juga bersama dengan Ahli-ahli pembangkang waktu itu telah berucap, berbahas di dalam Dewan ini bahawa anggaran 6.5 peratus sampai 7.5 peratus itu terlalu optimistik. 


Kerajaan telah underestimated impact pandemik COVID-19 dan pembangkang terbukti betul kerana kerajaan pada hari ini telah menurunkan (adjust down) GDP growth kepada antara tiga peratus sampai empat peratus sahaja.


 Kali ini Bajet Tahun 2022, anggaran GDP oleh kerajaan sekali lagi pada satu angka yang agak tinggi – 5.5 peratus sampai 6.5 peratus. Saya mengatakan ini juga satu angka yang of the high side, yang tinggi kerana sektor-sektor ekonomi dalam negara perlu masa pemulihan atau recovery time yang panjang.


 Bukan setakat ada yang berminggu- minggu tetapi ada juga yang berbulan-bulan tetapi ada yang juga menjangkaui satu tahun. 


Masa pemulihan Tuan Yang di-Pertua, bukan  V- shape tetapi barangkali K-shape. Ada yang makmur selepas pandemik ada yang jatuh terjunam dan tempoh pemulihan yang lama. Saya meminta supaya perkara ini diambil pertimbangan yang khas. 


Sektor pembinaan telah dianggarkan negatif 19.4 peratus pertumbuhannya pada tahun 2020. Pada tahun 2021 dianggarkan negatif 0.8 peratus tetapi pada tahun 2022, tumbuh 11.5 peratus. 


Apakah ikhtiar dan program kerajaan membantu sektor pembinaan yang dilanda pelbagai masalah? Kenaikan harga minyak,  tembaga, bauksit untuk pembuatan aluminium dan bijih besi bagi hasilkan keluli. Harga keluli pada paras yang tinggi RM3,400. Harga batu bata meningkat dan juga pelbagai kekangan daripada segi tenaga kerja. Apakah langkah Kementerian Kerja Raya dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membantu industri pembinaan untuk pulih kepada keadaan sebelum pandemik? Pada masa yang sama dapat membantu menstabilkan harga rumah dan menyerahkan kunci rumah demi melindungi pembeli rumah daripada projek terbengkalai. 


Saya ingin mengingatkan kerajaan bahawa pada masa lalu krisis kewangan tahun 1998, banyak projek terbengkalai. Laporan PAC baru-baru ini juga telah membongkar bahawa Projek PR1MA membatalkan banyak projek, ada projek yang lewat menyerahkan kunci dan ribuan pembeli rumah terpaksa service the bank loan dan sementara menunggu persiapan rumah. Saya meminta satu penjelasan daripada kementerian berkenaan. 


Satu lagi sektor yang tumbuh secara makmur pada tahun 2021 ialah sektor pembuatan. Dianggarkan manufacturing sector 8.1 peratus jauh melebihi GDP. Saya berpandangan selain mengenakan cukai makmur ke atas syarikat yang meraih keuntungan besar semasa pandemik, kerajaan juga perlu memberi insentif khas, menggalakkan pertumbuhan industri pembuatan peralatan perubatan (medical devices). Basic medical devices seperti ujian test kit COVID-19, oximeter, oxygen tank dan peralatan perubatan lain perlu diberi cukai galakan. 


Saya ingin bertanya kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, apakah percentage antara basic medical devices yang saya sebut tadi dan berapakah peratus keluaran tempatan dan berapakah peratus diimport? Saya tidak mendengar apa-apa insentif untuk sektor pembuatan medical devices di bawah pengumuman bajet ini. 


Selain daripada itu, sektor pertanian dan perladangan kukuh dan tidak banyak terkena kesan pandemik oleh kerana sektor itu resilient terhadap pandemik dan juga merupakan satu keperluan asas. Pengumuman kenaikan harga siling levi keuntungan luar biasa. Saya juga hendak bertanya sama ada terdapat satu keadaan pencukaian dua kali (double taxation) dan sektor-sektor perladangan dikenakan levi keuntungan luar biasa untuk minyak kelapa sawit (crude palm oil). Dikenakan sekali levi keuntungan luar biasa atas revenue dan cukai makmur pula satu bentuk modify form of levi keuntungan. Sama ada kenakan kali kedua dan bukan sahaja ke atas revenue tetapi ke atas profit terhadap minyak mentah kelapa sawit. 


Saya minta satu penjelasan daripada kerajaan sama ada sektor perladangan kelapa sawit dikenakan double taxation, sekali untuk levi keuntungan, sekali untuk Cukai Makmur. 


Ekoran kenaikan harga kelapa sawit mencecah – kalau saya tinjau semalam sebanyak RM5,355.50 per tan di MPOB. Subsidi minyak masak juga akan meningkat. Saya bertanya kepada kerajaan dalam segi jangkaan levi keuntungan biasa untuk atasi crude palm oil ini sama ada pada tahun 2021 dan tahun 2020, anggarannya sama ada ia cukup untuk menampung program subsidi minyak masak yang dijalankan. Berapakah subsidi minyak masak yang dibajetkan dalam Bajet 2022? 


Saya ingin bertanya kepada kerajaan, berapakah unjuran kerajaan dalam program-program subsidi untuk projek tahun 2022 ini? Subsidi petrol, subsidi diesel, subsidi gas petroleum cecair (LPG), subsidi minyak masak dan subsidi tepung gandum. Kita mengetahui bahawa Brent crude oil price telah meningkat ke USD84 dan juga bil subsidi minyak petrol semakin meningkat dan semakan perlu dijalankan dari semasa ke semasa. Ini kerana orang kaya juga dapat subsidi, warga asing juga dapat subsidi, bukan sahaja dapat subsidi LPG, subsidi petrol, diesel dan sebagainya. Apakah program rasionalisasi untuk subsidi supaya ke satu paras yang boleh dikawal, supaya target group orang yang kurang berada dapat enjoy subsidi ini dan tidak ada pengumuman daripada kerajaan dalam bajet ini. 


Tuan Yang di-Pertua, sektor pelancongan dari segi – tahun lalu telah diumumkan RM1 bilion untuk bajet PENJANA Tourism Financing untuk membantu IKS-IKS dari segi pelancongan sebanyak RM1 bilion. Mengikut LAKSANA Report yang diterbitkan baru-baru ini, adalah kurang daripada 10 peratus penggunaan dana sebanyak RM1 bilion ini untuk membantu tourism industry dan itu adalah satu kegagalan daripada segi Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membantu sektor-sektor pelancongan. 


Saya mendengar sekali lagi bahawa PENJANA Tourism Financing ini diumumkan sekali lagi oleh kerajaan dan saya ingin mendapatkan penjelasan, apakah pendekatan baharu, apakah idea baharu supaya dapat betul-betul membantu sektor pelancongan untuk pulih daripada keadaan sebelum pandemik. 


Tuan Yang di-Pertua, Malaysia telah jatuh dari tangga ke-22 pada tahun 2018 ke tangga ke-25 pada tahun 2021 dalam Indeks Daya Saing Global oleh IMD World Competitiveness Yearbook iaitu Global Competitiveness Index. Indeks ini mengukur produktiviti business environment dan government policy. Mengenai Cukai Makmur ini juga akan mempengaruhi sentimen pelaburan. Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, polisi-polisi kerajaan antara lain Cukai Makmur dan juga polisi baharu MM2H yang ketat memberikan satu isyarat bahawa kerajaan tidak business friendly. 


Polisi yang berubah-ubah seperti pendulum ini, pelabur datang ke Malaysia untuk long time investment dan satu risiko besar sekiranya polisi kerajaan berubah- ubah. Apakah ikhtiar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memperbaiki Indeks Daya Saing Global atau Global Competitiveness Index ini? Bagaimana untuk memperbaiki trade performance, pencapaian dari segi perniagaan, industri kita? 


Tuan Yang di-Pertua, selain itu, bajet ini juga tidak, not addressing one of the incoming crisis in Malaysia, retirement security untuk warga emas. Walaupun pelbagai pengumuman upskilling, reskilling tetapi untuk mereka yang berumur melebihi 50 ke atas, upskilling dan reskilling tidak sesuai untuk golongan ini dan saya ingin bertanya bahawa sama ada kerajaan memberikan galakan? Saya mencadangkan kerajaan memberikan galakan kepada syarikat-syarikat daripada segi potongan cukai untuk mengupah certain percentage of workers yang melebihi 50 tahun. 


Untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau EPF apakah strategi EPF, bagaimana untuk mengembalikan simpanan mereka atau deposit ahli-ahli EPF supaya mereka boleh bersara dengan cukupnya? 


Tuan Yang di-Pertua, dalam laporan ini SOCSO juga melaporkan hanya 6.5 peratus daripada 2,000,000 orang pekerja yang bekerja sendiri atau self-employed daftar dengan SOCSO, 6.5 peratus sahaja. Ini mendapat pelindungan SOCSO. Apakah ikhtiar kerajaan dan roadmap kerajaan, Kementerian Sumber Manusia untuk meningkatkan penyertaan mereka yang bekerja sendiri untuk mencapai satu angka sekurang-kurangnya 90 peratus. Sama ada satu compulsory SOCSO registration dijalankan dengan melibatkan pelbagai syarat supaya mereka apabila memohon untuk lesen perniagaan dan sebagainya, mereka perlu untuk menyertai SOCSO. Janganlah kita hanya – begitu kurang, 6.5 peratus self-employed yang mendapat pelindungan SOCSO. 


Tuan Yang di-Pertua, untuk akhir sekali saya ingin menyatakan bahawa perlu juga kita melihat kepada satu angka yang sangat terus meningkat. Bagi tahun 2022, emolumen dan juga bayaran pencen dan juga service charge hutang negara sudah mencecah 67.5 peratus daripada perbelanjaan mengurus. Ketiga-tiga angka ini telah meningkat dari 40 peratus pada tahun 2001 hingga tahun 2009 kepada 50 peratus pada tahun 2015 dan pada hari ini mencecah 67.5 peratus, pada jangkaan 2020. 


Ini kian meningkat terhadap bayaran khidmat hutang dan menyebabkan ketiga-tiga perbelanjaan emolumen, pencen dan juga bayaran khidmat hutang adalah lebih kurang 9.61 peratus of GDP. Apakah ikhtiar kerajaan untuk menangani perkembangan ketiga-tiga item ini supaya diadakan satu strategi untuk mengawal perkembangan ketiga-tiga ini supaya lebih banyak wang boleh digunakan untuk pembangunan dan tidak hanya untuk emolumen, persaraan dan juga membayar balik hutang. 


Saya harap dengan pelbagai pengumuman dalam bajet ini dapat memastikan distribution justice, equitable justice, supaya dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukannya. 


Saya ingin meminta kerajaan untuk menjawab setiap persoalan yang saya sentuh tadi. 


Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

No comments: